Wednesday, August 13, 2008

Psikologi sukan

PENGENALAN

Psikologi sukan merupakan satu pokok perbincangan dan persoalan dalam sukan yang cukup menarik serta mendapat perhatian umum. Cox (1998) merumuskan bahawa psikilogi sukan merupakan satu bidang yang luas dan terbuka sehingga ia memudahkan orang awam dan peminat sukan memberi komen berkaitan psikologi sukan. Psikologi sukan juga merupakan proses memilih dan memotivasikan atlet supaya atlet tersebut boleh bersaing atas usaha dan keupayaannya sendiri. Selain itu psikologi sukan juga menjurus kepada Psych-out lawan, proses ini dapat mengurangkan atau menangani tekanan yang dihadapi oleh atlet. Psikologi sukan juga juga dapat mencegah penggunaan dadah dikalangan atlet serta membina strategi berpasukan dan menerapkan pembelajaran kemahiran kepada atlet.

Contohnya, bila membingcangkan kemerosotan prestasi seseorang atlet, telah menjadi kelaziman ramai yang mengandaikan kemerosotan tersebut berlaku kerana faktor psikologi seperti kurang motivasi, sering hilang tumpuan, darah gemuruh, dan kurang yakin. Tetapi, tidak ramai pengkritik yang memberikan pendapat dan andaian yang melibatkan biomekanik, fisiologi mahupun kemahiran pemain tersebut. Jesteru itu, ramai yang membuat kesimpulan bahawa psikologi sukan merupakan satu perkara yang mudah serta boleh dipelajari dan dipraktikkan dalam bidang sukan yang melibatkan ahli sukan serta penonton boleh dijadikan sebagai asas untuk mendapatkan satu definisi yang lebih jelas lagi.

Psikologi sukan boleh ditakrifkan sebagai satu bidang kajian saintifik yang melihat kesan serta pengaruh sesuatu aktiviti terhadap perlakuan fizikal, efektif serta kognitif mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dengan aktiviti tersebut. Menurut pakar psikologi sukan, (Wann, 1997), bidang ini membabitkan bidang sukan dan pergerakan. Antaranya Cox (1998) menjelaskan bahawa psikologi sukan merupakan satu bidang sains atau prinsip-prinsip psikologi diaplikasi dalam bidang sukan. Bagi Weinberg dan Gould (1999) pula meruskan bahawa psikologi sukan merupakan satu bidang kajian saintifik tentang manusia dan perlakuan mereka dalam konteks sukan dan pergerakan. Takrifan ini membuka skop yang lebih luas dalam bidang psikologi sukan dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang berlaku kepada atlet, pegawai serta penonton digelanggang atau padangpermainan serta melibatkan mereka yang menyaksikan atau mengikuti perkembangan aktiviti tersebut dari jauh.

Kajian dalam psikologi sukan juga membolehkan kita :

- Menyatakan sesuatu tingkah laku

- Menerangkan tingkah laku tersebut

- Membuat andaian tentang tingkah laku tersebut.

Kondisi seseorang atlet diterangkan melalui pendekatan psikologi bagi mendapatkan kaedah yang sesuai untuk menangani masalah atlet. Ringkasnya, seseorang ahli psikologi sukan bukan sahaja berminat untuk mengetahui apa yang berlaku digelanggang serta kesan langsung terhadap atlet serta pegawai yang terbabit malahan kepada mereka terlibat secara tidak langsung diluar gelanggang permainan.


SEJARAH PSIKOLOGI SUKAN

Untuk mendalami dan memahami bidang psikologi sukan, kita harus mengetahui sejarah perkembangan bidang yang masih dianggap baru ini. Menurut Williams dan Straub (1993), bidang psikologi sukan mula muncul sebagai satu bidang kajian tersendiri sekitar 25 tahun yang lalu. Kita boleh membandingkan bidang ini dengan bidang sukan yang lain seperti fisiologi, pembelajaran motor dan lain-lain, bidang psikologi sukan merupakan bidang yang masih baru. Bagaimanapun, menurut Robert McGowan apabila ditanya tentang sejarah psikologi sukan oleh Wann (1997), psikologi sukan ini sama tuanya dengan konsep sukan dan pertandingan itu sendiri.

Kenyataan McGowan itu merujuk kepada atlet pertama yang bertanding dalam kejohanan olympik di Greece. Mereka mungkin memahami kepentingan persediaan mental serta persiapan psikologi yang lain bagi menghadapi kejohanan sukan yang terulung ini. Bagaimanapun, pada penghujung abad ke-19, barulah perkaitan antara psikologi dan perlakuan atlet mendapat perhatian para pengkaji. Kajian pertama dalam bidang psikologi sukan telah dilakukan oleh Norman Triplett pada tahun 1898 (Davis, Huss dan Backer, 1995). Dalam kajian tesis sarjana beliau, Triplett mendapati bahawa masa yang dicatatkan oleh pelumba basikal yang berlumba secara individu adalah lebih perlahan daripada masa yang dicatatkan oleh pelumba yang bersaing dengan pelumba yang lain. Ini adalah kesan dari segi fasilitasi sosial.

Untuk memastikan kesahihan kesan fasilitasi sosial ini, Triplett menjalankan kajian yang sama dalam makmal. Beliau meminta kanak-kanak yang terlibat dalam kajian mengayuh basikal selaju yang boleh secara bersendirianserta beramai-ramai. Hasilnya sama dengan apa yang beliau dapati dengan pelumba basikal. Beliau merumuskan bahawa pelumba basikal yang bersaing dengan pelumba basikal yang lainmencatatkan masa yang lebih pantas daripada pelumba yang berkayuh secara sendirian disebabkan kesan dari fasilitasi sosial.

Peringkat kedua dapat dilihat dalam sejarah perkembangan bidang psikologi sukan ini adalah pembentukan makmal kajian sukan pertama di Universiti of Illinois, Amerika Syarikat pada tahun 1925 oleh Coleman Robert Griffith. Griffith sangat berminat mengkaji tentang fenomena psikologi sukan sejak 1910, sehingga beliau diberikan gelaran sebagai Bapa Psikologi Sukan Amerika Syarikat (Cox, 1998). Kajian yang dilaksanakan oleh Griffith tertumpu kepada tiga bahagian utama iaitu motor, prestasi serta personality. Hasil kajian serta idea yang popular tentang psikologi sukan banyak terdapat dalam dua karya utama beliau iaitu The Psycholoogy of Coaching dan The Psychology of Athletics. Penutupan makmal Griffith pada tahun 1932 membantutkan perkembangan psikologi sukan sehingga tahun 1950-an. Mulai dekad tersebut, psikologi sukan mula membebaskan diri dari induknya iaitu bidang pembelajaran motor serta bergerak kearah menjadi satu bidang pengkhususan yang tersendiri (Landers, 1995)

Pada persidangan pertama Kongres Antarabangsa Psikologi Sukan (1965) telah memperlihatkan kewujudan Persatuan Psikologi Sukan Antarabangsa (International society of Sport Psychology) yang mana telah menjadi pemangkin kepada penubuhan persatuan psikologi sukan yang lain. Pada tahun 1967 juga lahirnya Persatuan Psikologi Sukan dan Aktiviti Fizikal Amerika Utara yang mewakili pengkaji psikologi sukan. Persatuan Peningkatan Bidang Psikologi Sukan Gunaan telah ditubuhkan pada tahun 1985 bagi memudahkan pertukaran maklumat antara pengamal psikologi sukan (pendidik serta ahli psikologi sukan klinikal). Bidang psikologi sukan juga diperkenalkan di negara kita apabila ia mula didedahkan kepada pelajar yang mengikuti kursus dalam bidang pendidikan jasmani di Universiti Putra Malaysia (Universiti Pertanian Malaysia) pada awal 1980-an. Disamping itu, punubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) Juga adalah bertujuan untuk meningkatkan pencapaian negara dalam bidang sukan telah menbantu mempopularkan bidang ini di Malaysia. MSN juga telah mewujudkan Unit Psikologi Sukan serta menghantar pegawai MSN ke luar negara bagi mendalami bidang ini untuk membantu persiapan atlet negara supaya menladi pemangkin kepada perkembangan bidang ini di Malaysia.

TUGAS DAN PERANAN AHLI PSIKOLOGI SUKAN

Majlis Olimpik Amerika Syarikat (USOC) telah menerbitkan satu artikel pada tahun 1983 yang mengandungi satu artikel yang menggariskan peranan serta klasifikasi ahli psikologi sukan. Menurut USOC ahli psikologi sukan boleh dibahagi kepada dua iaitu ahli psikologi sukan gunaan (applied sport psychology) (Martens, 1987) dan penyelidik psikologi sukan (experimentel sport psychologist) (singer, 1984). Terdapat dua kategori ahli psikologi sukan yang ditentukan oleh USOC iaitu ahli psikologi sukan klinikal dan pendidik psikologi sukan.

1. Ahli Psikologi Sukan Gunaan

(a) Ahli psikologi sukan klinikal

Kategori pertama ahli psikologi sukan gunaan adalah ahli psikologi sukan klinikal. Mereka ini adalah golongan yang terlatih dalam bidang psikologi klinikal yang mana berkelayakan menjadi seorang pakar psikologi. Secara amnya, tugas ahli psikologi sukan klinikal ini adalah untuk membantu atlet yang menghadapi masalah personaliti serta mental yang serius seperti atlet yang mengalami masalah gangguan emosi yang teruk seperti kemurungan, anoresia, panik, yang memerlukan rawatan dalam jangka masa yang tertentu. Ahli psikologi sukan kjinikal yang berkelayakan perlulah mendaftar sebagai ahli dalam persatuan psikologi yang diiktiraf dan mempunyai lesen untuk menjalankan perkhidmatan bagi membantu atlet dalam menangani masalah mereka.

(b) Pendidikan psikologi sukan

Kebanyakan ahli psikologi sukan yang tergolong dalam kumpulan ini lazimnya mendapat latihan dalam bidang pendidikan jasmani dan sains sukan. Mereka berkemahiran serta mempunyai pengetahuan asas psikologi sukan. Kebanyakannya bertugas sebagai tenaga pengajar di pusat pengajian tinggi atau kolej yang terlibat dalam pengajaran kursus psikologi sukan, memberikan ceramah, memberikan khidmat rundingcara terhadap atlet, membantu atlet membina kemahiran psikologi (seperti imageri, strategi daya tahan, daya tindak), menyedari potensi diri sertakursus kepada jurulatih yang bertindak sebagai konsultan kepada pasukan dan atlet tertentu. Tugas mereka lebih kepada “jurulatih mental” iaitu membantu individu yang terbabit dengan sukan tentang cara untuk mengenali serta memaksimumkan potensi diri masing-masing. Selain itu, mereka yang terlibat dalam psikologi sukan, kelayakan peringkat sarjana dalam bidang psikologi sukan diutamakan kerana mereka perlu sentiasa peka terhadap perubahan ilmu dan teknik terkini yang membabitkan latihan mental.

2. Penyelidik Psikologi Sukan

Mereka yang terlibat dalam sesuatu bidang akan mempengaruhi perkembangan dan kemerosotan sesuatu cabang ilmu yang mana ia bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan. Oleh itu, tugas seorang penyelidik psikologi sukan amatlah penting demi memastikan bidang ini mampu berdiri dengan sendirinya serta mendapat perhatian yang wajar di kalangan ahli akademik dan mampu memberikan sumbangan kepada mereka yang terlibat (Anshel, 1997; Wann, 1997). Sumbangan ahli psikologi sukan gunaan banyak bergantung kepada hasil kajian penyelidikan psikologi sukan. Kedua-duanya saling bantu-membantu dalam menegakkan bidang ini. Lazimnya, kelayakan diperingkat sarjana dan doktor falsafah diperlukan kedua-dua kelayakan ini bersifat menyelidik serta mengkaji isu-isu seperti motivasi, konsentrasi, keagresifan serta isu-isu lain yang berkaitan dengan psikologi sukan. Penyelidikan ini juga mestilah menunjukkan bukti kesarjanaan bidang penyelidikan tentang aktiviti yang dikaitkan dengan sukan dan latihan. Selain itu, mereka perlu menjalankan kajian seterusnya menerbitkan hasil kajian serta mempersembahkan hasil dapatan kajian dalam konferens profesional.


ETIKA DALAM PSIKOLOGI SUKAN

Sejak akhir-akhir ini, kerjaya sebagai ahli psikologi sukan mahupun “jurulatih mental” ini semakin popular kerana ramai orang telah melibatkan diri secara langsung dalam bidang ini untuk melatih atlet ataupun pasukan tertentu di negara kita.bagi memastikan khidmat yang diberikan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang memerlukan khidmat tersebut maka etika psikologi perlu diwujudkan serta dipraktikkan oleh mereka yang terlibat. Seterusnya topic perbincangan ini akan membantu kita mengenali kemampuan, kemahiran serta bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada atlet serta jurulatih yang memerlukan khidmat ahli psikologi sukan. Kebelakangan ini, ramai orang telah memperkatakan bahawa teori-teori serta teknik-teknik psikologi sukan telah menunjukkan keberkesanannya kerana ramai diantara mereka yang bergiat dalam sukan mengakuinya kerana ia mampu membantu mereka meningkatkan prestasi serta mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan sukan (Anshel, 1997; Cox, 1998; Wann, 1997). Pendedahankepada beberapa konsep, teori serta teknik psikologi sukanyang dapat membantu anda meningkatkan mutu persembahan dan pencapaian yang membanggakan.

Bagaimanapun dengan hanya menamatkan satu kursus psikologi sukan ataupun menamatkan satu kursus di peringkat diploma, anda masih belum boleh menganggap diri anda sebagai seorang ahli psikologi sukan serta berkelayakan untuk memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan kepakaran dalam bidang ini.walaupun di Malaysia masih belum wujud satu badan akreditasi khusus untuk ahli psikologi sukan seperti mana bidang profesional yang lain seperti kaunseling, doktor perubatan dan psikologi ia tidak bermakna bahawa anda bebas menggelarkan diri anda sebagai seorang pakar psikologi sukan. Perbuatan ini menyalahi etika profesion kerana ia tidak mempunyai kelayakan minimum untuk melayakkan diri menjadi ahli psikologi sukan. Pakar psikologi sukan bimbang tentang risiko yang mungkin timbul dari kesilapan penggunaan teori serta teknik psikologi sukan sekiranya ia dipraktikkan oleh mereka yang kurang mahir dalam bidang ini (Silva, 1989). Kesannya mungkin akan menyebabkan ramai orang meragui peranan serta kepentingan dalam bidang ini dan proses penyediaan atlet atau pasukan sukan.

Apa yang kita faham pada awal-awal tajuk ini, tugas seorang ahli psikologi sukanboleh diklasifikasikan kepada dua tugas utama. Pertamanya tugas yang bersifat memberikan tunjuk ajar (pendidikan) kepada atlet serta jurulatih tentang cara melakukan teknik latihan mental dengan cara lebih berkesan (Cox, 1998). Dalam konteks ini, guru atau jurulatih yang betul betul terlatih dalam bidang ini yang boleh melaksanakan tugas ini (Smith, 1992). Keduanya, tugas bersifat klinikal dimana seorang ahli psikologi sukan diminta untuk memberikan bantuan yang bercorak klinikal seperti memberikan kaunseling, psikoterapi serta membuat pemeriksaan psikologi dan mental atet terbabit. Oleh itu, adalah penting bagi seseorang ahli psikologi sukan mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang berkaitan untuk melaksanakan tugas tersebut.

Untuk memudahkan kita mendalami lagi isu-isu yang berkaitan dengan etika, satu garis panduan tentang kajian dan tugas klinikal dalam bidang psikologi sukan yang digariskan oleh Persatuan Psikologi Sukan dan Aktivit Fizikal Amerika Syarikat (North American Society for the Psychology of Sport and Physical Activity). Garis panduan ini menjelaskan tentang tatacara seorang ahli psikologi sukan (Wann, 1977) :

  1. Bertanggungjawab – Ahli psikologi sukan bertanggungjawab diatas segala perlakuan, nasihat serta saranan yang diberikan dan bertanggungjawab keatas kesan dan akibat berkaitan dengan saranan tersebut serta memastikan tindakan yang diambil itu bertepatan dengan keadaan.

  1. Berkelayakan – Ahli psikologi sukan memberikan bantuan dan latihan

yang mana ia berkelayakan serta berpengalaman melakukannya.

  1. Mematuhi moral dan etika – Ahli psikologi sukan tidak membabitkan diri

dengan kegiatan yang berlawanan dengan peraturan, etika serta moral

yang ditetapkan.

  1. Kenyataan umum – Ahli psikologi sukan menyatakan kelayakan ikhtisas

serta penglibatan mereka dengan persatuan profesional dengan jelas.

  1. Kerahsiaan – Ahli psikologi sukan menghormati serta menjaga rahsia atau maklumat yang diberikan oleh klien atau subjek kajian mereka.

  1. Kebajikan klien – Ahli psikologi sukan menjaga kebajikan serta integriti

klien serta kumpulan yang mendapatkan khidmat mereka.

  1. Hubungan profesional – Ahli psikologi sukan mesti peka terhadap

keperluan serta pendapat rakan-rakan dalam bidang lain yang berkaitan

dengan sukan.

  1. Teknik penilaian – Dalam usaha untuk membentuk, menerbit serta

menggunakan sesuatu alat atau teknik penilaian atau pengukuran,

kebajikan klien perlu diutamakan.

  1. Kajian yang milibatkan manusia – Dalam melaksanakan kajian psik ologi kebajikan mereka yang terbabit dengan kajian tersebut perlu diutamakan agar ia selaras dengan peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa diperingkat persekutuan, negeri serta badan profesional terbabit.

KESIMPULAN

Sebagaimana yang kita semua ketahui, untuk mempelajari dan mendalami psikologi sukan ini seharusnya seseorang itu mengetahui apa yang terkandung dan selok-belok yang mana melibatkan strategi-strategi serta teori-teori yang sepatutnya dilaksanakan. Untuk mengaplikasikan strategi serta teori ini, kita hendaklah mengetahui konsep dan fokus utama yang terkandung dalam tajuk ini. Perkara ini penting kerana ia mempengaruhi mutu pencapaian atlet. Walaupun bidang psikologi sukan ini masih baru, mereka mempunyai sejarah dan latar belakang yang tersendiri yang mengisahkan dan memperkenalkan psikologi sukan serta perkembangannya kepada umum. Disamping itu, beberapa perkara haruslah dititikberatkan oleh seseorang yang ingin menjadi ahli psikologi sukan termasuklah latar belakang pendidikan yang merupakan syarat utama dalam profesion ini. Diantaranya termasuklah beberapa jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh ahli psikologis sukan seperti perkhidmatan klinikal, pendidikan dan penyelidikan. Selain itu, perkara yang perlu diterapkan kepada ahli psikologi sukan adalah etika-etika dalam psikologi sukan. Perkara ini penting bagi menjaga imej mereka yang terlibat dalam profesion ini. Oleh itu, pelbagai aspek perlu diambil kira kerana aspek-aspek tersebut akan mempengaruhi seseorang ahli psikologi sukan serta memberikan kesan yang positif kearah usaha meningkatkan mutu persembahan dan pencapaian atlet negara.

RUJUKAN

  1. Anshel, M H. (2003). Sport Psychology : from theory to practice. USA:

Pearson, Education, Inc.

  1. shaharudin Abd. Aziz. (2001). Mengaplikasi teori psikologi dalam sukan.

Kula Lumpur: Utusan Publications & Distributors

6 comments:

Unknown said...

thanks 4 the info...

Unknown said...

nak tumpang tanya mcm peluang pekerjaan di malaysia bgi lulusan psikolgy sukan ini..sbb bermint nk ambik kos ni....

Unknown said...

salam. first of all, tq for the info. nak tanya sikit. masa interview tu, antara soalan2 yg ditanya psal psikologi sukan apa ye ? sy dpt interview kos ism sains sukan (psikologi sukan). so , nak sgt2 tahu serba sdkit kalau bleh la.

Fyra Farisya said...

Thanks for the info,sy pn bkl menghadiri temuduga kt upsi selasa ne..hopefully info ne dpt membantu insyaallah :)

Unknown said...

Saya nk tya tentang pakaian untuk kos ni

Unknown said...

Saya nk tya tentang pakaian untuk kos ni